Tuesday, October 28, 2008

CERITA LAMA: TV3 MEDIA PROVOKASI

Satu kekecohan telah berlaku sewaktu perbahasan bajet di Parlimen pada 20 Oktober 2008 yang lalu. Itu seperti apa yang dilaporkan oleh buletin utama TV3. Laporan itu mengaitkan pertikaman lidah di antara YB Pasir Salak dengan YB Kuala Selangor mengenai Bajet 2009. Penonton buletin sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku cuma mendengar satu bentuk provokasi peribadi dihamburkan oleh YB Pasir Salak kepada YB Kuala Selangor. Antara yang dapat didengar ialah dakwaan YB Pasir Salak terhadap YB Kuala Selangor yang beliau tidak ada cadangan dalam memperbaiki ekonomi dalam perbahasannya. Perbahasan YB Kuala Selangor hanya ke atas sepinggan nasi. Dakwaannya lagi inikah perbahasan dari seorang pakar ekonomi dan seorang pensyarah disusuli dengan beberapa bentuk provokasi lisan.
Tujuan saya memberikan senario ini supaya pembaca sekalian dapat membuat penilaian ke atas TV3 yang sangat tidak bertanggung jawab dalam laporannya. TV3 tidak bersikap adil dalam melaporkan persidangan parlimen. TV3 sebenarnya yang mencetuskan kemarahan rakyat terutama pembangkang dan golongan profesional yang tidak terlibat dengan politik. TV3 menjadi penyokong kerajaan secara membuta tuli dan sangat tidak bermaruah. Kenapa tidak dilaporkan secara penuh bagaimana pertikaman itu bermula? Di sinilah letaknya maruah TV3.
Oleh itu pembaca sekalian yang anti blog dan anti kepada bentuk provokasi lisan oleh penulis-penulis blog perlu menyedari siapakah sebenarnya pencetus ketegangan dalam politik tanah air. Di manakah lagi sumber maklumat yang boleh ditumpangi oleh rakyat sendiri. Pada pendapat saya inilah sebab utama kenapa laman blog mempunyai ramai peminat kerana melalui blog inilah rasa geram mereka dapat dilepaskan terutama geram terhadap TV3 dan media perdana yang lain. Sedarlah wahai pemimpin, sebenarnya pemimpin bertanggung jawab ke atas pimpinannya.

Oleh Pida2

No comments: