Tuesday, October 28, 2008

NAK TUNGGU MINYAK NAIK BARU NAK TURUN?

Sebagai pengguna dan rakyat Malaysia saya menggunakan kesempatan ini untuk menggesa kerajaan agar memberi pertimbangan yang wajar kepada keadaan inflasi dan ekonomi global yang sangat teruk sekarang. Ini semua gara-gara kapatalis yang tamak haloba sebelum ini yang menaikkan harga barangan sesuka hati bukan berdasarkan kepada keperluan dan keadaan sebenar. Sebab itulah Islam amat memandang serius orang yang berjual beli ini dimana di dalam Al Quran membandingkan perniagaan ini seperti riba tetapi Allah menghalalkan perniagaan dan mengharamkan riba.
Kenapa? Apa yang berlaku sekarang ke atas rakyat Malaysia adalah berpunca daripada tamak haloba peniaga. Baik pemborong, peruncit, pembekal dan pemerintah sekali pun terlibat sama. Misalnya harga minyak sekarang ini kenapa ia tidak boleh diturunkan? Kenapa sewaktu minyak berada dipuncak pelbagai janji manis telah dijanjikan kepada rakyat, umpamanya kita akan menentukan harga minyak di pam mengikut harga semasa. Kenapa ini tidak dilaksanakan? Atau apakah rakyat yang salah membaca atau media salah melaporkan? Hari ini minyak mentah dunia jatuh sekitar US82 setong dan harga petrol menjadi sekitar US1.94 segelen atau lebih kurang RM1.65 sen seliter. Jika kerajaan amanah dan telus subsidi 30 sen diberi maka minyak hanya sekitar RM1.30 sen/seliter sahaja. Itu secara kasar mungkin tidak tepat. Jadi apa lagi alasan pemerintah dalam hal ini? Antaranya mengambilkira kesan kerugian yang bakal dialami pengusaha pam minyak dan pembekalnya jika penurunan ini berlaku, inilah agaknya!
Oh Tuhan kenapalah ini dijadikan alasan, mengapa kocek orang kaya ini juga diambil kira? Dimana letaknya hak 26 juta rakyat yang senak menderita? Mengapa hak rakyat tidak dilayani dengan seadil-adilnya? Siapa lagi kalau bukan pemerintah yang menjaga kebajikan rakyat? Itulah dasar kapitalis yang dimaksudkan dalam baris di atas! Kapitalis senang hati melihat orang lain menderita asal sahaja dia senang dengan kemewahan. Menetapkan harga yang tidak masuk akal biarpun bekalan mencukupi atau memusnahkan sahaja bekalan jika ia melebihi di pasaran. Itulah dasar kapitalis yang sangat dimurkai Tuhan. Kepada peniaga-peniaga dan pemerintah ambillah iktibar daripada apa yang berlaku kepada ekonomi Amerika sekarang. Mereka menjadi penentu kepada harga barangan dunia walaupun mereka tidak memilikinya, akhirnya perbuatan itu memusnahkan mereka sendiri dimana hanya dengan sekelip mata ber”trillion” dolar hilang seperti asap yang naik ke langit. Itulah balasan Allah kepada mereka-mereka yang tamak dan haloba.
Oleh itu saya menggesa kerajaan Malaysia agar ambillah iktibar dan sayangilah rakyat sendiri dan kasihanilah orang miskin yang sangat terhimpit dengan kos sara hidup yang sangat tinggi sekarang akibat kenaikan harga minyak yang tidak terkawal. Ambillah peluang keemasan penurunan harga minyak dunia sekarang untuk dinikmati oleh rakyat sendiri. Pemborong dan pembekal, pengusaha pam minyak banyak-banyaklah bersabar dan bermuhasabah. Beringat-ingatlah dengan keuntungan yang diperolehi semasa harga minyak dinaikkan kepada RM2.70 daripada RM1.92. Tiada keuntungan ke yang kamu perolehi? Kini sampailah pula giliran pihak pengguna menikmatinya!! Sama-sama garulah!!

Pengundi Pida 2
Kedah.

No comments: