Tuesday, October 28, 2008

MotoGP 2008: PEMUDA PARAH DIBELASAH PENONTON




Semalam saya berkesempatan melihat MotoGP 2008 di litar Sepang. Cuaca yang baik telah menjadikan perlumbaan semalam sangat menghiburkan para penonton. Walau pun ada situasi yang tidak sesuai dengan naluri saya berlaku di segenap sudut tetapi apakan daya saya hanya insan kecil yang mampu menyanggah di dalam hati sahaja.
Saya ingin menarik perhatian pihak penganjur perlumbaan semalam samada pihak penganjur menyedari atau tidak satu insiden selepas berakhirnya Rossi meraikan kejayaannya di hadapan grandstand kedua. Dalam keseronokan menyambut kejayaan tiba-tiba muncul seorang penonton yang naik minyak atau terlebih seronok daripada Rossi lalu membuka baju dan mengibarkan bajunya sambil menghalang laluan Rossi di tengah-tengah litar. Nasib pemuda itu baik kerana dapat dielak oleh Rossi dan pelumba yang lain.
Penonton-penonton lain yang melihat gelagat dan perangai pemuda itu, menjadi marah kerana dia telah mengganggu mereka untuk melihat aksi terakhir Rossi meraikan kejayaan. Lagipun perbuatannya amat merbahaya kepada pelumba-pelumba. Akhirnya pemuda itu menjadi sasaran botol air dan pelbagai lagi objek yang sempat diambil oleh penonton yang marah. Pun begitu pemuda tadi tidak hairan dan masih berlagak dengan pelbagai gaya mengejek para penonton yang ramai. Nasibnya kali ini lebih teruk kerana dia bersama seorang atau dua orang lagi rakan dan juga teman wanita turut dibelasah penonton ketika cuba kembali ke tempat duduk. Muka pemuda itu sudah berlumuran darah, akhirnya dia dan rakannya selamat setelah dilarikan ke seberang litar. Ceritanya berakhir apabila datang dua orang anggota polis. Macam cerita hindustan!!
Persoalannya, adakah insiden ini disedari oleh penganjur atau tidak? Apakah situasi begini dibenarkan oleh penganjur? Kenapakah pemuda ini dapat membolosi pagar keselamatan? Di manakah pegawai polis bertugas? Apakah insiden ini dapat menaikkan imej negara? Apakah para pelumba berasa selamat untuk MotoGP akan datang? Adakah sampah sarap di laluan yang paling laju itu tidak boleh mengundang bahaya? Jangan salahkan penonton yang bertindak terhadap pemuda tersebut kerana penonton telah memberikan mesej yang jelas bahawa mereka membenci perlakuan dan lagak yang menjelekkan dan tidak berfaedah.
Saya berharap komen saya ini dipanjangkan kepada pihak penganjur dan mereka yang berkuasa. Kedahlanie atau Marhaendaily boleh tolong sama menghebahkannya. Sebelum ini sudah banyak tulisan dan cadangan (bukan fasal MotoGP) saya ajukan kepada media perdana rasmi tetapi tidak pernah mendapat laluan. Kerana itu saya hantar kepada Kedahlanie dan bukan kepada media perdana yang lain kerana saya lebih percaya blog dan demi sayangnya saya kepada sukan dan negara.

SUKAN UNTUK SEMUA

Oleh Pida2

No comments: